Saturday, May 30, 2009

Halal Haram Untuk Semua Orang

HARAM dalam pandangan syariat Islam mempunyai ciri menyeluruh dan mengusir.
Oleh kerana itu tidak ada sesuatu yang diharamkan untuk selain orang Arab (ajam) tetapi halal buat orang Arab. Tidak ada sesuatu yang dilarang untuk orang kulit hitam, tetapi halal, buat orang kulit putih.

Tidak ada sesuatu rukhsah yang diberikan kepada suatu tingkatan atau suatu golongan manusia, yang dengan menggunakan nama rukhsah (keringanan) itu mereka boleh berbuat jahat yang didorong oleh hawa nafsunya.

Mereka yang berbuat demikian itu sering menamakan dirinya pendita, pastor, raja atau orang-orang suci. Bahkan tidak seorang muslim pun yang mempunyai keistimewaan khusus yang dapat menetapkan sesuatu hukum haram untuk orang lain, tetapi halal buat dirinya sendiri.

Sekali-kali tidak akan begitu!

Allah SWT adalah Tuhan untuk semua orang semua manusia, syariatNya pun untuk semua manusia. Setiap yang dihalalkan oleh Allah dengan ketetapan undang-undangNya, bererti halal untuk segenap ummat manusia. Dan apa saja yang diharamkan, haram juga untuk seluruh manusia. Hal ini berlaku sampai hari kiamat. Misalnya mencuri, hukumnya adalah haram, baik si pelakunya itu seorang muslim ataupun bukan orang Islam; baik yang dicuri itu milik orang Islam ataupun milik orang lain. Hukumnya pun berlaku untuk setiap pencuri walau apa sekali pun keturunan atau kedudukannya.

Demikianlah yang dilakukan Rasulullah saw dan yang dikumandangkannya.
Sabda Rasulullah saw dalam pengumumannya itu:
"Demi Allah! Kalau sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, pasti akan ku potong tangannya." (Hadis Riwayat Bukhari)

Di zaman Nabi ada pernah terjadi suatu peristiwa pencurian yang dilakukan oleh seorang Islam, tetapi ada suatu syubahat sekitar masalah seorang Yahudi dan seorang Muslim. Kemudian salah satu keluarganya yang Islam melepaskan tuduhan kepada seorang Yahudi dengan beberapa keterangan yang dibuatnya dan berusaha untuk mengelakkan tuduhan terhadap rakannya yang beragama Islam itu, padahal dialah pencurinya, sehingga dia bermaksud untuk mengadukan hal tersebut kepada Nabi saw dengan suatu keyakinan, bahawa dia akan dapat bebas dari segala tuduhan dan hukuman. Waktu itu turunlah ayat yang menyingkap kejahatan ini dan membebaskan orang Yahudi tersebut dari segala tuduhan. Rasulullah saw mencela orang Islam tersebut dan menjatuhkan hukuman kepada pelakunya.

Wahyu Allah berbunyi sebagai berikut:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu kitab dengan benar, supaya kamu menghukum diantara manusia dengan (pengertian) yang Allah beritahukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi pembela orang-orang yang khianat. Dan minta ampunlah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Dan janganlah kamu membela orang-orang yang mengkhianati dirinya itu, kerana sesungguhnya Allah tidak suka berkhianat dan berbuat dosa. Mereka bersembunyi (berlindung) kepada manusia, tetapi tidak mahu bersembunyi kepada Allah, padahal Dia selalu bersama mereka ketika mereka mengatur siasatnya itu di waktu malam, iaitu sesuatu yang tidak diredhai dari perkataan itu, dan Allah maha meliputi semua apa yang mereka perbuat. Awaslah! Kamu ini adalah orang-orang yang membela mereka di dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan membela mereka dari hukuman Allah kelak di hari kiamat? Atau siapakah yang akan mewakili untuk (menghadapi urusan) mereka itu?"
(Al Quran Surah an Nisaa' ayat 105 -109)

Pernah juga terjadi suatu anggapan dalam agama Yahudi, bahawa riba’ itu hanya haram untuk seorang Yahudi jika berhutang kepada orang Yahudi yang lain. Tetapi berhutang kepada lain daripada Yahudi tidaklah terlarang.
Demikianlah seperti yang tersebut dalam Ulangan 23: 19-20: "Maka tidak boleh kamu mengambil bunga daripada saudaramu, baik bunga wang, mahu pun bunga makanan, atau bunga barang sesuatu yang dapat makan bunga. Maka daripada orang lain bangsa boleh kamu mengambil bunga, tetapi daripada saudaramu tidak boleh kamu mengambil bunga."

Sifat mereka yang seperti ini diceritakan juga oleh Al-Quran, di mana mereka membolehkan berbuat khianat terhadap orang lain, dan hal semacam itu dipandangnya tidak salah dan tidak berdosa.
Al-Quran mengatakan:
"Di antara mereka ada beberapa orang yang apabila diserahkan amanat dengan satu dinar pun, dia tidak mahu menyampaikan amanat itu kepadamu, kecuali kalau kamu terus-menerus berdiri (menunggu); yang demikian itu kerana mereka pernah mengatakan. tidak berdosa atas kami (untuk memakan hak) orang-orang bodoh itu, dan mereka juga berkata dusta atas (nama) Allah, padahal mereka sudah mengerti."
(Al Quran Surah Ali-Imran ayat 75)

Benar mereka telah berdusta atas nama Allah, iaitu dengan bukti, bahawa agama Allah itu pada hakikatnya tidak membeza-bezakan antara suatu kaum terhadap kaum lain dan melarang berbuat khianat melalui lidah setiap rasuINya.

Dan yang cukup kita sesalkan ialah, bahawa perasaan Israiliyah inilah yang merupakan kejahatan biadab, yang kiranya tidak patut untuk dinisbatkan kepada agama Samawi (agama Allah). Sebab budi yang luhur bahkan budi yang sebenarnya mestinya harus mempunyai ciri yang menyeluruh dan universal, sehingga tidak terjadi anggapan halal untuk ini tetapi haram untuk itu.

Perbezaan prinsip antara kita dan golongan bada’iyah (primitif) hanyalah dalam hal luasnya daerah budi/akhlak. Bukan ada atau tidak adanya budi itu. Sebab soal amanat misalnya, menurut anggapan mereka dipandang sebagai suatu sikap yang baik dan terpuji, tetapi hanya khusus antara putera sesuatu kabilah. Kalau sudah keluar dari kabilah itu atau lingkungan keluarga, boleh saja berbuat khianat; bahkan kadang-kadang dipandang siasat baik atau sampai kepada wajib.

Pengarang Qisysyatul Hadharah menceritakan, bahawa semua golongan manusia hampir ada persamaan dalam kepercayaan yang menunjukkan mereka lebih baik daripada yang lain. Misalnya bangsa Red Indian di Amerika, mereka menganggap dirinya sebagai hamba Tuhan yang terbaik. Tuhan menciptakan mereka ini sebagai manusia yang berjiwa besar khusus untuk dijadikan sebagai tauladan di mana manusia-manusia lainnya harus menaruh hormat kepadanya.

Salah satu suku Indian itu ada yang menganggap dirinya sebagai Manusia yang tidak ada taranya. Dan suku yang lain beranggapan, bahawa dirinya itu manusia diantara sekian banyak manusia. Suku Carbion mengatakan pula hanya kami lah yang disebut manusia sesungguhnya dan seterusnya.

Kesimpulannya, bahawa manusia primitif didalam mengatur cara pergaulannya dengan golongan lain tidak menggunakan jiwa etika yang lazim seperti yang biasa dipakai dalam berhubungan dengan kawan sesukunya.

Ini merupakan bukti nyata, bahawa etika (akhlak) merupakan fungsi yang paling ampuh guna memperkukuh jemaah dan memperteguh kekuatannya untuk menghadapi golongan lain. Oleh kerana itu persoalan etika dan larangan tidak akan dapat berlaku (sesuai) melainkan untuk penduduk golongan itu sendiri. Untuk golongan lain, tidak lebih daripada tamu. Justeru itu boleh saja mereka mengikuti tradisi golongan tersebut sekadarnya saja.

Rujukan: Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi

-------------------------------------------------------------------------------

Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

No comments:

Post a Comment