Tulisan ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan, dan tidak boleh dirujuk untuk apa-apa jua tujuan dalam apa jua keadaan
Dari segi klasifikasi ilmu, ‘ulama menduduki tempat pertama sebagai pemegang kuasa/otoriti (authority) dalam ‘ulum ‘un naqliy (ilmu yang berteraskan wahyu). Sementara ulum ‘ul aqli (ilmu yang berteraskan akal) menduduki tempat kedua. Justeru pembangunan duniawi dalam perspektif Islam itu sifatnya adalah integratif, ‘ulama menjadi penentu mutlak di dalam pencapaian tamaddun Islam yang lalu.
Dengan meneladani iltizam dan keupayaan ‘ulama di zaman silam, para agamawan tempatan masa kini, yang memungkinkan kelahiran ‘ulama dan cendiakawan Islam pada masa akan datang, mempunyai peranan yang lebih besar, amat mendesak dan mencabar daripada zaman lampau.
Dewasa ini umat Islam sedang menyaksikan era kepesatan pembangunan duniawi. Perkembangan sains kejuruteraan bionetik, sains pengurusan, kejuruteraan sistem, perkembangan teknologi maklumat tinggi dan pembangunan ekonomi yang rancak telah merubah bentuk dan cara hidup manusia masakini.
Sebagai sebuah kampong kecil di pedalaman yang terletak di persimpangan saingan pembangunan yang sengit, dalam usaha untuk menempatkan diri di peta dunia, pastinya Kg Lipat Kajang akan juga berhadapan dengan cabaran keupayaan intelektualisme dan kewibawaan agamawan tempatan, sebagai kelompok penyumbang strategik yang sama-sama boleh mencarta perjalanan pembangunan dasar setempat, agar ia selari dengan ethos dan prinsip nilai-nilai akhlak manusia bertamaddun.
Melarikan diri dari cabaran tersebut hanya akan menggugat kredibiliti kepimpinan agama setempat (yang dianggap sebagai pemimpin didalam kampong dalam urusan-urusan keagamaan).
Dalam konteks sebuah kampong yang tidak cenderung melihat usaha-usaha mengejar pembangunan dari perspektif agama, segala sesuatu bersabit dengan apa jua permasalahan masyarakat dari semua sudut masih terus didasarkan dan dirujuk kepada hukum-hukum dan prinsip-prinsip agama Islam, maklum balas dari mereka yang mempunyai pengetahuan luas dalam dalam bidang agama Islam dalam kampong sentiasa diperoleh.
Namun hendaknya bukan setakat hanya apabila ada sesuatu kepentingan yang memihak kepada “pihak berwajib” (kerajaan) atau “pihak berkuasa” semata-mata yang perlu diuruskan di peringkat mukim/kampong (peringkat akar umbi), maka barulah penglibatan agamawan digembeling dan diiktiraf. Sebaliknya dalam banyak lain-lain hal permasalahan kampong, peranan agamawan tidak pernah diperlukan. Jika keadaan sedemikian berlaku maka tanggapan masyarakat setempat ialah bahawa agamawan adalah semata-mata berperanan membantu menegakkan tunjang “pihak berkuasa” (pemimpin/pemerintah) dengan cara berhujjah berlandaskan dalil-dalil wahyu dalam usaha untuk meyakinkan masyarakat terhadap sesuatu usul pemerintah tanpa mengira prinsip asasnya dari segi hukum halal haram atau kebenaran/kebathilan. Agamawan dijadikan sebahagian dari diplomasi politik walau pun diperingkat tempatan
Dalam situasi dimana kredibiliti nilai dan kejujuran sudah banyak dipersoalkan, kredibiliti seseorang atau satu institusi akan mudah segera di ukur pada sejauh mana kekuatan asas pegangan nilai dan etika seseorang atau institusi itu. Golongan agama dalam hal ini wajar berperanan sebagai unsur pengimbang, menawarkan alternatif dan menjadi rakan dalam proses membuat keputusan dan cadangan-cadangan tertentu berteraskan nilai dan kepercayaan kepada Tuhan (yakni berteraskan hukum-hukum Islam).
Menjadikan ulama’ atau agamawan sebagai rakan runding dalam semua rancangan dan usaha pembangunan kampong tidak akan mencacatkan kuasa ketua/pemimpin kampong, walau pun peranan ulama’ tersebut sama sekali bukan kuasa penentu samada pembangunan akan berjaya atau gagal. Juga golongan agamawan setempat dalam bilangannya yang amat kecil tidak boleh disalah anggap sebagai mempunyai kecenderungan untuk menyimpang dari peranan asal mereka sebagai pewaris pencerah ‘ilmu dan agama hanya kerana mereka berpendirian yang lebih terbuka dan liberal dalam mengamalkan cara hidup Islam sebagai satu cara hidup yang sentiasa progresif selari dengan perkembangan sosio-budaya dan ekonomi kehidupan ummat, tanpa sedikit pun menyalahtafsir hukum-hukum Tuhan atau menggugat iman dan aqidah.
Malahan para agamawan bakal menambah political mileage, menunjukkan proses kedewasaan demokrasi setempat dan mempertingkatkan kuasa diplomasi (power of diplomacy) kepimpinan yang sedia ada. Juga sebaliknya agamawan dapat meluaskan ruanglingkup peranan tradisionalnya sebagai pakar rujuk dalam hal-hal tertentu yang ada hubungkait dengan segala perukunan dan amalan-amalan agama Islam.
Dasar peminggiran atau memperlekehkan peranan agamawan akan hanya melebarkan jurang dan menyuburkan polarisasi dikalangan penduduk kampong, yang boleh melebarkan cetusan kebencian dan persengketaan disebabkan perbezaan pendapat yang tidak langsung berlandaskan syariah, iman dan aqidah dan jauh menyimpang dari amalan-amalan yang dituntut. Silaturrahim dikalangan penduduk akan pasti tergugat dan perselisihan faham akan berlaku diantara kepimpinan masyarakat dengan kepimpinan keagamaan walau pun pada kebiasaannya kepimpinan kampong adalah juga kepimpinan keagamaan (yang menguasai pengurusan masjid).
Mustahak dilahirkan dan adanya agamawan dalam masyarakat (mukim/kampong) bukanlah bertujuan untuk mewujudkan situasi kecelaruan atau percanggahan peranan, kerana hakikatnya agama pada manusia adalah panduan utama dan penyuluh kehidupan, bukan sebaliknya pemain peranan politik sebenar (real politician) yang jauh lebih kecil darinya.
Apa yang dicadangkan adalah mewujudkan situasi gandingan atau politik akomodasi yang positif berdasarkan kepentingan maslahat jangka panjang dan bukan faedah-faedah jangka pendek. Jika situasi gandingan yang sejahtera antara agamawan dan pentadbir dapat berlaku, maka barulah wujudnya wawasan al-Quran “membangun masyarakat aman dan diberkati oleh Tuhan” (baldatun thoiyibah warabbun ghofur).
Penglibatan positif yang dimaksudkan dalam konteks politik tempatan hari ini adalah peranan proaktif agamawan dalam memberi pendapat-pendapat (buah fikiran) alternatif yang berasaskan etika ketuhanan, keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan yang sejahtera, serta dapat diterima oleh semua penduduk mukim/kampong.
Jika golongan agamawan Islam berupaya mewarnai dialog-dialog yang menarik yang didasari oleh ketelitian/kemantapan hujjah dan penganalisaan yang mendalam dan jelas, maka tiada sebab mengapa golongan agamawan Islam diperingkat mukim/kampong harus diketepikan dalam proses membuat keputusan atau sebagai pemangkin dalam meningkatkan nilai-nilai kehidupan masyarakat setempat melalui amalan-amalan yang lebih sempurna.
Umumnya agamawan Islam yang menguasai ilmu-ilmu seperti usul fiqh dan fiqh siyasah kontemporari tentunya berupaya melihat dari kacamata alternatif yang tidak mengancam, yang kontemporari dan harmonis. Cabaran pembangunan sosio-ekonomi, politik dan keagamaan masakini semakin bertambah kompleks dan getir, dan ini menambahkan lagi keyakinan bahawa walau di peringkat mukim/kampong sekali pun adalah sangat perlu diwujudkan gandingan baik dan semangat keterbukaan antara mereka yang berpendidikan luas dalam agama Islam dengan mereka yang berpendidikan tinggi dalam ilmu-ilmu konvensional, tanpa ada sikap prejudis atau budaya cantas mencantas antara satu sama lain.
Peranan-perana inisiatif yang dimainkan oleh beberapa pertubuhan dan cendiakawan Islam di beberapa buah negara boleh dijadikan contoh positif bagaimana institusi Islam dapat berperanan di peringkat masjid, kampong atau mukim untuk memperkasa dan memodelkan perspektif Islam sebagai alternatif penyelesaian permasalahan samada dalam bidang keagamaan mahu pun dalam bidang pendidikan, ekonomi, politik, atau sosial dan dapat juga menawarkan beberapa inisiatif yang sesuai untuk menghasilkan aktiviti-aktiviti ekonomi yang halal (yakni tidak bertentangan dengan hukum-hukum agama Islam) diperingkat mukim/kampong.
Begitu juga dalam hal membangunkan/melahirkan personaliti tokoh berprofail tinggi yang berwibawa seperti Dr Tariq Ramadan, Dr Mustafa Ceriq, Dr Ibrahim el Hebawi, Sheikh Yusuff al Qardawi, Sheikh Mustafa al Maulawi adalah antara contoh kejayaan yang boleh memberangsangkan masyarakat kampong supaya memberikan keutamaan yang wajar terhadap pendidikan anak-anak dalam bidang agama Islam agar dapat pada jangkapanjangnya dilahirkan agamawan-agamawan mukim/kampong yang tersohor bukan saja di peringkat Mukim Lipat Kajang tetapi juga sampai jauh sehingga ke arena antarabangsa.
Di sini perlunya agamawan Islam negeri/negara menerajui kehadapan dalam dialog-dialog kepimpinan dan motivasi diperingkat mukim/kampong bertujuan melahirkan kesedaran dikalangan penduduk terhadap pentingnya menggalakkan pendidikan generasi-generasi pewaris dalam bidang agama Islam, sama penting dengan pendidikan di bidang-bidang duniawi yang lain seperti pertanian, kejuruteraan, perundangan, perubatan, dan lain-lain.
Budaya kesarjanaan strategik dan kritikal dalam bidang keagamaan juga perlu diwujudkan. Agamawan tempatan perlu juga menguasai bidang–bidang pengkhususan lain seperti perubatan, sains sosial, pembangunan politik, pengurusan strategik, kepimpinan, teknologi maklumat dan lain-lain.
Untuk situasi ‘ulama sebagai pakar rujuk dalam konteks pembangunan negara hari ini sudah tentu memerlukan cabaran intelektualisme di peringkat yang tinggi dan silang disiplin keilmuan, memahami isu-isu semasa dengan jelas, celik media dan mampu menganalisis perspektif global.
Secara realitinya ditinjau dari sudut kualiti kepimpinan agama masa kini, ujian sebenar terletak bukan pada samada tidak wujudnya peluang atau ruang bertindak agamawan adalah terhad. Tetapi cabaran utamanya ialah tidak wujudnya golongan agamawan Islam di peringkat mukim/kampong, contohnya di Mukim Lipat kajang Pahang pada masa kini tidak terdapat agamawan yang berupaya dan kompeten untuk menunjukkan kualiti kepimpinan dan intelektualisme jauh lebih luas daripada hanya terikat kepada emosi ekskluvisme agama dan masyarakat/kelompok sendiri.
Kita mengharapkan supaya ramai agamawan seperti Almarhum Tuan Hj Ahmad Hurairah dapat dilahirkan di Mukim Lipat Kajang dalam jangka masa terdekat.
Tidak dinafikan mungkin memang sudah ada terdapat dikalangan penduduk Mukim Lipat Kajang anak-anak muda dari generasi pewaris yang sudah layak dan sudah diiktiraf sebagai agamawan yang semestinya sudah pun giat mempermainkan peranan-peranan masing-masing sebagai guru-guru agama, pegawai-pegawai agama, pemimpin-pemimpin agama pada tahap pencapaian dan kepakaran yang tersendiri. Maka segera diharapkan agar mereka ini dapat menyumbang kepada pembangunan bidang agama Islam di Mukim Lipat Kajang melalui apa jua peranan/penglibatan yang wajar tanpa dibantutkan oleh sebarang kepentingan peribadi.
(ini hanyalah pendapat dan pandangan penulis, yang masih boleh dipertikaikan)
(tanpa syak wasangka dan tanpa prejudis)
ucapan terima kasih diatas beberapa rujukan yang telah dibuat mengenai tajuk “agamawan” ini
---------------------------------------------------------------------------------
Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
saya rasa sdr memang layak jadi agamawan kerana pandang bernas saudara. Lebih elok masuk politik kerana sdr nampak jujur,tak kira lah parti mana sdr nak masuk.calun pru13 mungkin?
ReplyDelete