Thursday, May 14, 2009

Agamawan Mukim Lipat Kajang - Bhg 1

Tulisan ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan, dan tidak boleh dirujuk untuk apa-apa jua tujuan dalam apa jua keadaan

Agamawan Mukim Lipat Kajang – Bahagian 1

Istilah “guru” mencakupi guru tabika dan tadika, guru sekolah rendah, guru sekolah menengah, guru maktab dan kolej (pensyarah) dan guru-guru di universiti (tutor, pensyarah, dr, prof madya, prof) dan berbagai lagi/kategori jenis guru – mereka semua ini adalah termasuk dalam golongan “guru” (atau cikgu)
Demikian juga istilah “agamawan” bukan lah satu istilah yang baru atau asing atau “bombastic” (yang membawa cirri-ciri keistimewaan).

Angkasawan, pastinya kita tahu siapa mereka ini. Begitu juga “sasterawan” atau “jutawan” atau “dermawan” atau apa-apa “…….wan” pun kita akan segera tahu siapa mereka bila disebut.

Istilah “agamawan” secara mudah dan literalnya diertikan oleh beberapa pendukung bahasa sebagai “a religious person” (dalam bahasa Inggeris), maknanya “agamawan” ialah seorang yang berpengetahuan dalam bidang agama sekaligus mengamalkan prinsip-prinsip serta peribadatan (Islam, jika ianya seorang beragama Islam).

Maka itu tidak salah jika kita maksudkan bahawa para “agamawan” Islam itu merangkumi semua mereka yang cukup berpengetahuan dalam bidang ilmu keagamaan Islam, pada tahap atau peringkat pencapaian/penguasaan masing-masing. Agamawan (Islam) ini pastinya terdiri daripada ustaz-ustaz (yang bertauliah, bukan yang asal pakai kupiah putih saja boleh dipanggil ustaz), guru-guru agama, ulama’-ulama’, kadhi-kadhi, mufti-mufti dan cendekiawan-cendekiawan agama (para penyelidik, pengkaji dan pakar rujuk agama serta lain-lainnya) yang kesemuanya boleh dan layak digelar “agamawan”.

Maka kita meneliti pula satu persoalan yang mungkin tidak pernah terlintas difikiran kebanyakan anak-anak Mukim Lipat Kajang selama ini iaitu, “kenapa tidak ada anak-anak jati Mukim Lipat Kajang Pahang yang muncul sebagai “agamawan” dalam beberapa dekad yang lalu yang merentasi beberapa generasi penduduk, mungkin sejak dari awal kurun yang ke 19 yang lalu, kecuali seorang sahaja yang kita semua ketahui iaitu Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah, ulama’ ulung di Mukim Lipat Kajang.

Tidak dinafikan penduduk-penduduk Kg Lipat Kajang (atau lebih tepat lagi, Mukim Lipat Kajang) rata-rata semuanya amat berpegang teguh kepada hukum-hukum agama Islam baik dari segi penunaian segala ibadah-ibadah yang dituntut (yang wajib dan juga yang sunat) mahu pun dari segi galakan/larangan dalam amalan-amalan hidup harian, yang sentiasa dipastikan berlandas kepada peraturan-peraturan dan hukum-hukum agama Islam. Namun apa yang tidak berapa disedari ialah hakikat bahawa penduduk Mukim Lipat Kajang secara amnya telah tidak berapa menitikberatkan (atau tidak berapa memberi keutamaan) kepada pedidikan, pembelajaran dan pengajian dibidang agama (Islam) untuk anak-anak mereka.

Berlatarbelakangkan keadaan hidup yang rata-rata boleh dikirakan sebagai dhaif (kecuali sebilangan kecil keluarga yang lebih bernasib baik), maka selama beberapa dekad dari satu generasi ke satu generasi, barangkali oleh kerana telah diyakinkan oleh “pendidikan-pendidikan” tertentu, dan maka itu telah timbul kesedaran yang meluap-luap bahawa harapan untuk mengubah kedhaifan hidup kepada satu keadaan yang lebih berkemampuan untuk memenuhi segala keperluan hidup, golongan ibu bapa perlu dan telah menjadi cenderung untuk menghantar anak anak mereka masuk belajar di sekolah-sekolah yang berbahasa penghantar Inggeris, sebaik saja tamat persekolahan rendah di Sekolah Melayu Lipat Kajang (kemudiannya Sekolah Kebangsaan Lipat Kajang) dan/atau apabila saja mendapat tawaran dan peluang untuk anak-anak melanjutkan persekolahan di sekolah menengah Inggeris.

Didorong dan digalakkan pula oleh “pengamal” dan “pendokong” politik (terutamanya yang datang dari luar kampong) sebelum dan juga selepas kemerdekaan tahun 1957 bahawa orang kampong sepatutnyalah memberi keutamaan supaya anak anak mereka diberi pelajaran/pendidikan dalam bidang-bidang yang boleh cepat membawa pulangan/hasil untuk membantu mereka mengubah keadaan hidup (atau keadaan ekonomi) mereka. Khususnya bidang-bidang tersebut ialah bidang-bidang kemanusiaan dan sains yang sejak beberapa dekad lalu sudah wujud pengajaran/pembelajarannya di sekolah-sekolah menengah berbahasa penghantar Inggeris. Juga digembar-gemburkan kepada penduduk kampong ialah bahawa tanpa mengerti berbahasa Inggeris (yakni jika tidak tahu bercakap dalam bahasa Inggeris, membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris) maka peluang untuk anak anak mereka untuk mencapai hasrat dan cita-cita agar mendapat pekerjaan bergaji lumayan adalah amat tipis, samada hendak menjadi seorang askar atau polis, atau hendak menjadi seorang kakitangan kerajaan, atau hendak menjadi seorang guru, atau seorang kerani, dan sebagainya.

Itulah pesanan dan “nasihat” yang diberikan kepada semua penduduk Mukim Lipat Kajang tidak kira samada pada akhirnya akan membawa satu implikasi yang agak sedikit merugikan buat penduduk kampong yang rata-rata masih lagi tidak mempunyai pengetahuan asas yang kukuh dalam bab-bab agama Islam walau pun diketahui memang ada ramai dikalangan penduduk yang hafal membaca Al Quran, tahu dan faham sedikit sebanyak tentang hadis-hadis dan mempunyai cukup pengetahuan untuk memimpin dalam perkara-perkara amalan dan ibadah fardu ‘ain dan/atau kifayah.

Pengajian/pendidikan/pelajaran untuk anak-anak di bidang keagamaan (yakni di bidang pengajian agama Islam) hampir-hampir tidak pernah disebut langsung, tidak pernah kedengaran dinasihatkan (oleh samada pihak berkuasa di kampong atau pun mereka yang datang dari luar, seperti dari jabatan-jabatan kerajaan daerah atau mereka yang menerajui aktiviti politik tempatan) tidak pernah digalakkan kepada penduduk kampong. Begitu juga usaha-usaha untuk mewujudkan program keagamaan di kampong (di masjid kampong khususnya) juga tidak ditikberatkan sewajarnya kerana pihka-pihak berkenaan juga amat cemburu bahawa jika penduduk-penduduk kampong memperoleh pendidikan dan pengetahuan yang lebih luas serta mendalam dalam bab-bab keagamaan (samada melalui aktiviti keagamaan setempat atau pun melalui anak-anak mereka yang dihantar ke sekolah menengah agama) mereka akan mudah digamit dan dianuti oleh anasir-anasir politik yang bertentangan (yakni politik yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam) yang barang diketahui seawal dekad 40an lagi telah muncul dan telah menjadi satu gerakan politik yang mula menjadi aktif pada pertengahan tahun 1951, yang halatuju dan matlamat politiknya sama sekali tidak disenangi sehingga menimbulkan kekhuatiran lalu penduduk-penduduk kampong tidak digalakkan untuk memahami secara lebih mendalam bidang pengajian Islam baik dari segi ilmiah mahu pun dari segi prinsip-prinsip dan amalan-amalan dalam kehidupan harian.

Oleh itu langsung kita mendapati penduduk-penduduk kampong dalam Mukim Lipat Kajang seawal tahun 1950an sudah mula ramai yang anak anak mereka meceburi bidang perguruan (menjadi guru), sudah mula ramai menjadi askar dan/atau polis (berpangkat rendah atau berpangkat pegawai), sudah ramai yang menjadi kerani di pejabat-pejabat kerajaan di merata tempat/daerah, hanya kerana bidang-bidang pekerjaan tersebutlah yang boleh membawa perubahan kepada tahap dan keadaan kehidupan mereka, dan mereka digalakkan menceburi dan memilih kerjaya di bidang-bidang tersebut, dan bukannya menjadi guru agama atau ustaz/ustazah.

Se awal tahun 1950an juga telah kedengaran ramai anak anak penduduk Mukim Lipat Kajang telah berjaya dan dapat memasuki sekolah-sekolah berbahasa Inggeris untuk menyambung pelajaran mereka di peringkat lebih tinggi, dan segala yang berlaku seterusnya telah pun kita semua ketahui, memang kesemuanya merupakan perkembangan yang amat baik bagi penduduk-penduduk. Anak-anak mereka terus berjaya dalam pelajaran masing-masing sehingga berjaya pula menjadi orang-orang professional, sebagai doktor, jurutera, arkitek, peguam, akauntan, pakar pertanian, pakar biologi, pakar kimia, guru-guru, penjawat-penjawat awam, artis-artis, dan berbagai lagi, Alhamdulillah. Pulangannya amat nyata, cepat dan terbukti dapat mengubah keadaan hidup “orang tua” di kampong.

Namun apa yang hampir langsung tidak kedengaran sejak dekad 40an dan 50an lalu ialah bahawa setakat yang boleh diingat dan/atau dijangkaui oleh penulis, iaitu sejak dari dekad 40an lagi, tidak ada anak-anak kelahiran Mukim Lipat Kajang yang dihantar atau pergi melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan (yakni dalam bidang pengajian agama Islam), mungkin lah ada seorang atau dua orang tapi hanya beberapa kerat itu sajalah, (namun fakta dan angka sebenar tidak dapat disahkan atau pun sebaliknya, setakat ini)

Almarhum Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah ialah satu-satunya anak Mukim Lipat Kajang yang telah mendalami bidang pengajian agama Islam sehingga sampai ke Mekah, dan menjadikan arwah sebagai seorang ulama’ (atau agamawan) terulung di Mukim Lipat Kajang, malahan telah terkenal di seluruh Daerah dan juga Negeri.
Berikut ialah satu catitan mengenai Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah dalam blog LK ini, yang berbunyi,

We all knew him. A good man, Allah fearing man. Humble and unassuming, though his knowledge was vast. A well respected man. And to us children then, he never showed any anger or even blinked an eye, even though we used to make a lot of noise playing near his house (near the masjid). When he passed away (do not really know what year) we lost the good man. And his descendants are many (and well respected) in Lipat Kajang.

In the book, Monograf, Pahang Dalam Sejarah VI, yang di editkan oleh Yaakub Isa & Mohammad Mokhtar, diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang, muka 9 dinyatakan " ........ ramai ulamak Pahang yang menerima pendidikan di Mekah kembali ke tanah air dan membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di antara mereka ialah:
1923 ........ Tuan Haji Ahmad Hurairah - di Lipat Kajang, Temerloh"

Dialihbahasa ke dalam Bahasa Melayu, lebih kurang begini:
Kita semua mengenali dia. Seorang yang baik. Seorang yang takutkan Allah. Rendah diri dan tidak sombong walau pun pengetahuannya amat luas. Seorang yang sangat dihormati. Dan bagi kita kanak-kanak pada masa itu, dia tidak pernah menunjukkan kemarahan atau sekali pun mengelipkan matanya, walau pun kami selalu buat bising bermain berhampiran dengan rumahnya (dekat masjid). Apabila dia meninggal dunia (tidak diketahui sebenarnya pada tahun bila) kita telah kehilangan seorang yang baik. Dan keturunannya amat ramai (dan dihormati) di Lipat Kajang.
Dalam buku, Monograf, Pahang Dalam Sejarah Vl, yang disunting oleh Yaakub Isa & Mohammad Mokhtar, diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Pahang, di muka 9 dinyatakan, “……..ramai ulamak Pahang yang menerima pendidikan di Mekah kembali ke tanah ayer dan membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di antara mereka ialah: 1923…….Tuan Haji Ahmad Hurairah – di Lipat Kajang, Temerloh”

Satu catitan lain yang telah dibuat dalam http://sungaiujung.blogspot.com/ menyatakan bahawa seorang ulama’ yang berasal dari Kg Jerang Durian Tipus, Jelebu, NS bernama Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain (1905 – 1968) pada umur remajanya telah dihantar oleh bapanya untuk mengikuti pengajian agama Islam dengan Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah di pondoknya di Panchor, Temerloh (barangkali Panchor itu dimaksudkan Bukit Panchor, atau pun LK Baruh yang dulunya terkenal dengan nama Panchor?)

Lain-lain maklumat mengenai diri Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah (Almarhum) atau pun mengenai ke”agamawan”nya tidak berjaya diperoleh setakat ini, untuk menyokong hujjuah-hujjah tentang kemasyurannya dalam bidang agama Islam.

Kemudian diketahui juga bahawa diantara beberapa orang anak-anak Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah, Allahyarham Haji Hassan Bin Haji Ahmad (lebih dikenali dengan panggilan AyahCik Chan) memang telah terkenal dan dihormati sepanjang hayatnya sebagai seorang agamawan ulung di Mukim Lipat Kajang, termasuk menjadi Tuan Imam Masjid Lipat Kajang selama berpuluh tahun.

Kita juga mengetahui bahawa seorang daripada cucu-cucu Tuan Guru Haji Ahmad Hurairah, yang bernama Yusof Bin Osman (Abang Yusof anak PokDe Man Tanjung) (Allahyarham) juga telah mengikuti jejak langkah datuknya. Dia telah pergi mengaji pondok di Kelantan untuk mendalami lagi pengetahuannya dalam bidang agama Islam. Namun jika saya tidak salah fakta, Abang Yusof telah meninggal dunia sebelum sempat dia menamatkan pengajian pondoknya.

Ada lagi kah anak anak Mukim Lipat Kajang yang lain yang telah mendalami pengajian agama Islam sehingga berjaya digelar dan dihormati sebagai seorang agamawan (ustaz, atau tuan guru, atau pak imam, atau ulama’)? – saya tidak mempunyai maklumat).

Mungkin ada tetapi bilangannya mungkin boleh dibilang dengan jari-jari sebelah tangan saja.

Memang Mukim Lipat Kajang tidak ada atau pun kurang sangat menghasilkan anak-anak jati yang berpengetahuan luas dan berpelajaran tinggi (tinggi maksudnya sampai ke tahap berpondok, ke tahap belajar di maktab atau universiti) dalam bidang pengajian agama Islam sehingga boleh dibanggakan sebagai “agamawan” anak Mukim Lipat Kajang.

Mutakhir atau terkini mungkin telah ada terdapat dari golongan muda (generasi baru) anak anak jati Mukim LK yang telah berjaya menjadi guru agama atau ustaz/ustazah, saya tidak mempunyai maklumat yang cukup. Namun sekali lagi bilangannya saya percaya adalah sangat kecil.

Kesimpulannya memang Mukim Lipat Kajang tidak ada atau kurang sangat menghasilkan cerdik pandai dan terpelajar dikalangan anak-anak LK dalam bidang pengajian agama Islam berbanding dengan bidang-bidang lain seperti yang telah disebut diatas.

Dan oleh kerana itu, memang tidak terdapat ramai “agamawan” Islam di Lipat Kajang (kalau ada pun hanya beberapa kerat) yang boleh diamanahkan untuk menerajui usaha-usaha kearah meningkatkan penerapan dan pengamalan pengajian agama Islam dikalangan penduduk, atau pun lebih-lebih lagi yang boleh diketengahkan ke peringkat daerah atau lebih tinggi untuk sama-sama berganding bahu dengan para “agamawan” dari tempat lain dalam menggerakkan berbagai jenis aktiviti keagamaan Islam yang sedang pesat berlangsung di merata pelusuk.

Hal yang demikian adalah satu perkara yang amat dikesali, dan amat merugikan Mukim Lipat Kajang, dan sebab musababnya yang amat mungkin secara langsung atau tidak telah juga dikaji, dan diketahui samada tepat atau pun secara tempias.

Langkah-langkah sepatutnya di masa akan datang barangkali ialah supaya pendidikan dan pelajaran (sehingga ke tahap yang paling tinggi yang boleh dicapai) dalam bidang pengajian agama Islam mesti diberi keutamaan yang wajar setanding dengan pendidikan/pelajaran di bidang-bidang lain. Semua warga Mukim Lipat Kajang seharusnya sedar dan peka tentang perkara ini, tentang perlunya juga anak-anak digalak supaya menjadikan pengajian agama Islam sebagai bidang pelajaran pilihan yang boleh diikuti sehingga ke menara gading, yang pasti jika berjaya dikuasai/dicapai juga akan dapat memanfaatkan diri mereka sendiri juga bukan saja dari segi kehidupan duniawi tetapi juga lebih beruntung lagi akan memberi faedah-faedah jangkapanjang bagi kesempurnaan ukhrawi di akhirat nanti.

Disamping itu juga, jika dapat dilahirkan ramai “agamawan” di Mukim Lipat Kajang maka sudah pasti lebih banyak lagi usaha-usaha dan aktiviti-aktiviti keagamaan akan dapat digerakkan dan dijalankan secara mantap dan berkesan (oleh anak kampong sendiri untuk penduduk kampong sendiri) supaya boleh juga menyumbang kepada kemaslahatan hidup seluruh penduduk Mukim Lipat Kajang, Insya’Allah

(tanpa syak wasangka dan tanpa prejudis)


Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

3 comments:

  1. Pada masa saya di kampong baru2 ini, terdengar juga oleh telinga saya bahawa ada beberapa anak2 orang Lipat Kajang yang di ura2 kan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ugama Islam tetapi ibu bapak mereka tidak begitu setuju. Entah mengapa.

    ReplyDelete
  2. saya pun tak faham kenapa ibu bapa di LK tak berapa menggalakkan anak anak melanjutkan pelajaran dalam bidang ugama Islam,
    adakah kerana mereka beranggapan kurang atau taada prospek dan taada peluang untuk anak anak mendapat pekerjaan yang bergaji lumayan setelah tamat belajar nanti???

    sedih juga bila tengok taada langsung anak anak LK yang sampai ke Mesir, Jordan, Syria atau pun ke UM UIA UKM mengikuti pengajian agama Islam

    untuk dunia dan akhirat sekaligus, apa yang lebih baik dari menimba sebanyak mungkin ilmu dan mendapat kelulusan pelajaran dalam bidang ugama Islam, belajair itu saja pun dah dibalas dengan sekian banyak pahala oleh Allah SWT

    wahai ibu bapa...

    ReplyDelete
  3. yang cuba hantar anak mengaji dulu ia lah Abang Mohd Lazim, anak Tok Munkin Salleh. Dia dan isteri sekarang tinggal di Teluk Ira. Kalau tak silap saya, anaknya pergi mengaji di Jordan (atau Mesir, saya tak begitu pasti). dah balek pun tapi saya tak tahu adakah dia lulus apa2. dan saya kurang pasti adakah anaknya itu cuba berbakti di Lipat Kajang.

    ReplyDelete