Wednesday, March 31, 2010

Menjadi Insan-Insan Cemerlang

Anak-anak merupakan aset yang paling berharga kepada kedua-dua ibu bapa, merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah keluarga. Apatah lagi jika anak-anak berkenaan menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibubapanya mendapat nikmat di dunia serta ganjaran pahala di akhirat yang begitu tinggi dan besar ertinya yang bakal diterima di akhirat kelak.

Anak-anak yang tidak mendengar kata nasihat ibubapa, degil ingkar, liar, melakukan dosa dan maksiat kepada Tuhan Yang Maha Esa, sudah pasti ianya akan menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah s.w.t. :-
Maksudnya: “ Ketahuilah bahawa harta benda kami dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar ”.
(Surah al-Anfal ayat 28)

Ibubapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak sepertimana yang dikehendaki oleh Islam, bukan mengikut corak yang mereka pilih atau sukai. Oleh itu, anak-anak perlu dididik, diasuh dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya hidupnya kelak sentiasa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Proses pendidikan anak-anak bermula di peringkat awal lagi, iaitu semasa masih dalam kandungan. Bermula dari sini proses pertumbuhan janin mengikut cara, amalan pemakanan dan doa si ibu bapa. Rasulullah s.a.w. amat menekankan kepada keutamaan memilih pasangan yang beragama daripada memilih lain-lain kriteria, dalam usaha mempastikan agar zuriat yang bakal dilahirkan nanti adalah anak-anak yang soleh.

Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya : Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Nabi s.a.w. bersabda : Kahwini wanita kerana empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka utamakan isteri yang beragama pasti tidak akan rugi.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh sebab itu, adalah menjadi faktor utama bahawa ibu bapa yang melahirkan anak, hendaklah ibu yang beriman kepada Allah s.w.t. dalam erti kata lain, ibu yang taat menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Begitu juga halnya dengan soal pemakanan yang diambil oleh ibu-ibu yang mengandung. Mereka hendaklah makan makanan yang halal, bersih dan berzat kerana ianya boleh mempengaruhi perkembangan dan pembesaran anak-anak samada dari aspek fizikalnya mahupun tabiat akhlaknya. Pengambilan makanan dari sumber-sumber yang tidak halal (haram), nescaya akan meninggalkan kesan yang negatif kepada anak-anak yang bakal dilahirkan: seperti kecacatan, kerencatan akal fikiran, dungu dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya : “ Tiap-tiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, maka neraka lebih layak untuknya “.

(Hadis riwayat Muslim)

Bagi membentuk anak-anak supaya menjadi insan cemerlang, kedua ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang, bagaimana mungkin ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa adalah cermin yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya. Doa yang baik perlu diamalkan ketika ibu mengandung lagi, bagi mendapat insan soleh. Antara doa-doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika ibu-
waktu sedang mengandung seperti:

Firman Allah swt:
Maksudnya : " Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa' dengan berkata : Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati malihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa".

( Surah al- Furqan : 74 )

Pendidikan Aqidah hendaklah disemai sejak kecil lagi selaras dengan tuntutan Islam supaya setiap anak yang baru dilahirkan hendaklah diazankan atau di iqamatkan. Apabila anak-anak mencapai umur mumayyiz hendaklah disuruh melaksanakan sembahyang dan lain-lain ibadat yang difardhukan ke atasnya. Ibubapa hendaklah sentiasa menggalakkan anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia (mahmudah) dan melarang dari melakukan sifat-sifat cela (mazmumah)

Jika ibubapa atau penjaga telah dapat menyempurnakan amanah mendidik dengan sebaik-baiknya, nescaya anak-anak mereka akan menjadi anak yang soleh.

Antara tanda-tanda yang dapat dilihat sebagai anak yang soleh ialah:

1. Taat kepada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w, dalam ertikata melaksanakan yang diperintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta tidak menyekutukan Allah, baik secara terang mahupun sembunyi.

2. Taat dan hormat kepada kedua ibubapa, dengan berbakti kepadanya, mengasihi dan mendoakan kebaikan kepada meraka semasa hidup apa lagi setelah mereka meninggal dunia.

3. Memiliki segala sifat-sifat mahmudah serta menjauhi segala sifat-sifat mazmumah. Antaranya seperti sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, taubat, taqwa dan sebagainya. Manakala sifat-sifat mazmumah yang perlu dihindari seperti bohong, bakhil, kianat. hasad dengki, riak, takabbur, ujub dan lain-lain lagi.

Anak-anak adalah amanah Allah, maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya. Kerana apabila anak-anak kita kukuh akidahnya ia dapat menangkis sebarang bentuk ancaman dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan ajaran menyeleweng dan menyalahi syariah serta aqidah.

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala) : neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat-Nya yang keras kasar (layanannya) meraka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan ”.

( Surah al-Tahrim ayat : 6 )


Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

1 comment:

  1. Betul ke lipat kajang ni? Kampung macam kampung koboi. Tak ada undang2 langsung. Dah la tu, keperihatinan dan semangat kekampungan tak ada langsung. Imagine this, people jamming loudly from 10pm to late midnight! Karaoke pun dah ada. Melalak sampai larut malam. Penang yang dipegang DAP pun tak ada teruk macam ni.

    Back to basic la kawan. Kat masjid tu nak tengok imam2 dan ajk masjid pun payah. Kalau ada function kat masjid - sembahyang jumaat, sembahyang raya, majlis doa - baru nampak muka. Masing2 buat sibok. Nampak macam orang penting. Lepas tu, tarak. Kalau sembahyang waktu jemaah lain, the same guy azankan, the same guy imamkan. Imam, siak, bilal, ajk? Sibok berpolitik masjid kot.....

    Nasihat la budak2 muda kampung tu kalau betul nak jadikan keturunan lipat kajang bangga dgn kampung tu. Kalau takut nak menegur, tak payah post hadis berjela-jela.

    ReplyDelete