Saturday, June 6, 2009

Menentukan Halal Haram Adalah Hak Allah

DASAR pertama yang ditetapkan Islam, ialah bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satu pun yang haram, kecuali kerana ada nas yang sah dan tegas dari syari' (yang wajar membuat hukum itu sendiri, iaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah, misalnya kerana ada sebahagian Hadis lemah atau tidak ada nas yang tegas (syarih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu mubah.

DASAR kedua ialah bahawa Islam telah memberikan suatu batas yang wajar untuk menentukan halal dan haram, iaitu dengan melepaskan hak tersebut dari tangan manusia, betapa pun tingginya kedudukan manusia tersebut dalam bidang agama mahupun duniawi nya. Hak tersebut hanya lah kepunyaan Allah SWT.

Bukan padri, bukan pendita, bukan raja, bukan sultan dan bukan menteri yang berhak menentukan halal-haram. Barangsiapa bersikap demikian, bererti dia telah melanggar batas dan menentang hak Allah dalam menetapkan perundangan untuk ummat manusia. Dan barangsiapa yang menerima serta mengikuti sikap tersebut, bererti dia telah menjadikan mereka itu sebagai sekutu Allah, sedang pengikutnya disebut "musyrik", maka dengan demikian telah menjadi syirik..

Firman Allah SWT:
"Apakah mereka itu mempunyai sekutu yang mengadakan agama untuk mereka, sesuatu yang tidak diizinkan Allah?" (Al Quran Surah As-Syura ayat 21)

Al-Quran telah mencela ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang telah memberikan kekuasaan kepada para padri dan pendita untuk menetapkan halal dan haram, dengan firmannya sebagai berikut:
"Mereka itu telah menjadikan para padari dan penditanya sebagai tuhan selain Allah; dan begitu juga Isa bin Maryam (telah dituhankan), padahal mereka tidak diperintah melainkan supaya hanya berbakti kepada Allah Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Suci Allah dari apa-apa yang mereka sekutukan."
(Al Quran Surah At-Taubah ayat 31)

'Adi bin Hatim ra pada suatu ketika pernah datang ke tempat Rasulullah pada waktu itu dia lebih dekat pada Nasrani sebelum ia masuk Islam setelah dia mendengar ayat tersebut, kemudian ia berkata: “Ya Rasulullah Sesungguhnya mereka itu tidak menyembah para padri dan pendita itu”.
Maka jawab Nabi s.a.w.:
"Betul! Tetapi mereka (para padri dan pendita) itu telah menetapkan haram terhadap sesuatu yang halal, dan menghalalkan sesuatu yang haram, kemudian mereka mengikutinya. Yang demikian itulah penyembahannya kepada mereka."
(Hadis Riwayat Tarmizi)
"Memang mereka (ahli kitab) itu tidak menyernbah pendita dan padri, tetapi apabila pendita dan padri itu menghalalkan sesuatu, mereka pun ikut menghalalkan juga; dan apabila pendita dan padri itu mengharamkan sesuatu, mereka pun ikut mengharamkan juga."

Orang-orang Nasrani tetap beranggapan bahawa Isa al-Masih telah memberikan kepada murid-muridnya, ketika beliau naik ke langit, suatu penyerahan (mandat) untuk menetapkan halal dan haram dengan sesuka hatinya. Hal ini tersebut dalam Injil Matius 18:18 yang berbunyi sebagai berikut: "Sesungguhnya aku berkata kepadamu, barang apa yang kamu ikat di atas bumi, itulah terikat kelak di syurga; dan barang apa yang kamu lepas di atas bumi, itupun terlepas kelak di syurga."

Al-Quran telah mencela juga orang-orang musyrik yang berani mengharamkan dan menghalalkan tanpa izin Allah, dengan firman Allah SWT yang bermasksud:
"Katakanlah! Apakah kamu mengetahui apa-apa yang Allah telah turunkan untuk kamu daripada rezeki, kemudian dijadikan sebahagian daripadanya itu, haram dan halal; katakanlah apakah Allah telah memberi izin kepadamu, ataukah memang kamu hendak berdusta atas (nama) Allah?"
(Al Quran Surah Yunus ayat 59)

Dan firman Allah SWT lagi:
"Dan jangan kamu berani mengatakan terhadap apa yang dikatakan oleh lidah-lidah kamu dengan dusta; bahawa ini halal dan ini haram, supaya kamu berbuat dusta atas (nama) Allah, sesungguhnya orang-orang yang berani berbuat dusta atas (nama) Allah tidak akan dapat bahagia."
(Al Quran Surah An-Nahl ayat 116)

Dari beberapa ayat Al Quran dan Hadis seperti yang tersebut di atas, para ahli fiqih mengetahui dengan pasti, bahawa hanya Allah lah sahaja yang berhak menentukan halal dan haram, baik dalam kitabNya (Al-Quran) ataupun melalui lidah RasulNya (Sunnah). Tugas mereka tidak lebih, hanya menerangkan hukum Allah tentang halal dan haram itu. Seperti firmanNya:
"Sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kamu apa yang Dia haramkan atas kamu." (Al Quran Surah Al-An'am ayat 119)

Para ahli fiqih sedikit pun tidak berhak dan tidak wajar menetapkan hukum syara' ini boleh dan ini tidak boleh. Mereka, dalam kedudukannya sebagai imam atau pun mujtahid, pada menghindar dari fatwa, satu sama lain berusaha untuk tidak melakukan kesilapan dalam menentukan halal dan haram (mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram).

Imam Syafi'i dalam al-Um meriwayatkan, bahawa Qadhi Abu Yusuf, murid Abu Hanifah pernah mengatakan: "Saya menjumpai guru-guru kami dari para ahli ilmu, bahawa mereka itu tidak suka berfatwa, sehingga mengatakan: ini halal dan ini haram, kecuali menurut apa yang terdapat dalam Al-Quran dengan tegas tanpa memerlukan tafsiran.

Kata Imam Syafi'i selanjutnya, Ibnu Saib menceritakan kepadaku dari ar-Rabi' bin Khaitsam bahawa dia termasuk salah seorang tabi'in yang besar dia pernah berkata sebagai berikut: "Hati-hatilah kamu terhadap seorang laki-laki yang berkata: Sesungguhnya Allah telah menghalalkan ini atau meridhainya, kemudian Allah berkata kepadanya: Aku tidak menghalalkan ini dan tidak meridhainya. Atau dia juga berkata: Sesungguhnya Allah mengharamkan ini kemudian Allah akan berkata: "Dusta engkau, Aku samasekali tidak pernah mengharamkan dan tidak melarang dia."

Imam Syafi'i juga pernah berkata: Sebahagian kawan-kawanku pernah menceritakan dari Ibrahim an-Nakha'I, salah seorang ahli fiqih golongan tabi'in dari Kufah, dia pernah menceritakan tentang kawan-kawannya, bahawa mereka itu apabila berfatwa tentang sesuatu atau melarang sesuatu, mereka berkata: Ini makruh, dan ini tidak apa-apa.

Adapun yang kalau kita katakan: Ini adalah halal dan ini haram, betapakah besarnya persoalan ini.

Demikianlah apa yang diriwayatkan oleh Abu Yusuf dari salafus saleh yang kemudian diambil juga oleh Imam Syafi'i dan diakuinya juga. Hal ini sama juga dengan apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Muflih dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah: "Bahawa ulama-ulama salaf dahulu tidak mahu mengatakan sesuatu itu haram, kecuali setelah diketahuinya dengan pasti."

Didapati juga Imam Ahmad, misalnya, kalau beliau ditanya tentang sesuatu persoalan, maka dia menjawab: Aku tidak menyukainya, atau hal itu tidak menyenangkan aku, atau aku tidak senang atau aku tidak menganggap hal itu baik.

Cara seperti ini dilakukan juga oleh imam-imam yang lain seperti Imam Malik, Abu Hanifah dan lain-lain.

*******************************************************************************

Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

No comments:

Post a Comment