Wednesday, March 31, 2010

Menjadi Insan-Insan Cemerlang

Anak-anak merupakan aset yang paling berharga kepada kedua-dua ibu bapa, merupakan penyeri atau perhiasan dalam sesebuah keluarga. Apatah lagi jika anak-anak berkenaan menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sudah tentu kedua ibubapanya mendapat nikmat di dunia serta ganjaran pahala di akhirat yang begitu tinggi dan besar ertinya yang bakal diterima di akhirat kelak.

Anak-anak yang tidak mendengar kata nasihat ibubapa, degil ingkar, liar, melakukan dosa dan maksiat kepada Tuhan Yang Maha Esa, sudah pasti ianya akan menjadi beban kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Firman Allah s.w.t. :-
Maksudnya: “ Ketahuilah bahawa harta benda kami dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar ”.
(Surah al-Anfal ayat 28)

Ibubapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan anak-anak sepertimana yang dikehendaki oleh Islam, bukan mengikut corak yang mereka pilih atau sukai. Oleh itu, anak-anak perlu dididik, diasuh dan dijaga dengan sebaik-baiknya supaya hidupnya kelak sentiasa beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Proses pendidikan anak-anak bermula di peringkat awal lagi, iaitu semasa masih dalam kandungan. Bermula dari sini proses pertumbuhan janin mengikut cara, amalan pemakanan dan doa si ibu bapa. Rasulullah s.a.w. amat menekankan kepada keutamaan memilih pasangan yang beragama daripada memilih lain-lain kriteria, dalam usaha mempastikan agar zuriat yang bakal dilahirkan nanti adalah anak-anak yang soleh.

Sabda Rasulullah saw:

Maksudnya : Dari Abu Hurairah r.a. katanya : Nabi s.a.w. bersabda : Kahwini wanita kerana empat perkara : kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka utamakan isteri yang beragama pasti tidak akan rugi.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh sebab itu, adalah menjadi faktor utama bahawa ibu bapa yang melahirkan anak, hendaklah ibu yang beriman kepada Allah s.w.t. dalam erti kata lain, ibu yang taat menjalankan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Begitu juga halnya dengan soal pemakanan yang diambil oleh ibu-ibu yang mengandung. Mereka hendaklah makan makanan yang halal, bersih dan berzat kerana ianya boleh mempengaruhi perkembangan dan pembesaran anak-anak samada dari aspek fizikalnya mahupun tabiat akhlaknya. Pengambilan makanan dari sumber-sumber yang tidak halal (haram), nescaya akan meninggalkan kesan yang negatif kepada anak-anak yang bakal dilahirkan: seperti kecacatan, kerencatan akal fikiran, dungu dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya : “ Tiap-tiap daging yang tumbuh dari sesuatu yang haram, maka neraka lebih layak untuknya “.

(Hadis riwayat Muslim)

Bagi membentuk anak-anak supaya menjadi insan cemerlang, kedua ibu bapa hendaklah juga terdiri daripada manusia yang cemerlang, bagaimana mungkin ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang diberikan oleh ibu bapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa adalah cermin yang mudah dijadikan tontonan oleh anak-anaknya. Oleh itu dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini. Contoh yang baik dari ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak begitu jugalah sebaliknya. Doa yang baik perlu diamalkan ketika ibu mengandung lagi, bagi mendapat insan soleh. Antara doa-doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika ibu-
waktu sedang mengandung seperti:

Firman Allah swt:
Maksudnya : " Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang ) yang berdoa' dengan berkata : Wahai tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati malihatnya dan jadikanlah kami ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa".

( Surah al- Furqan : 74 )

Pendidikan Aqidah hendaklah disemai sejak kecil lagi selaras dengan tuntutan Islam supaya setiap anak yang baru dilahirkan hendaklah diazankan atau di iqamatkan. Apabila anak-anak mencapai umur mumayyiz hendaklah disuruh melaksanakan sembahyang dan lain-lain ibadat yang difardhukan ke atasnya. Ibubapa hendaklah sentiasa menggalakkan anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia (mahmudah) dan melarang dari melakukan sifat-sifat cela (mazmumah)

Jika ibubapa atau penjaga telah dapat menyempurnakan amanah mendidik dengan sebaik-baiknya, nescaya anak-anak mereka akan menjadi anak yang soleh.

Antara tanda-tanda yang dapat dilihat sebagai anak yang soleh ialah:

1. Taat kepada Allah s.w.t. dan Rasul s.a.w, dalam ertikata melaksanakan yang diperintah dan meninggalkan segala larangan-Nya, serta tidak menyekutukan Allah, baik secara terang mahupun sembunyi.

2. Taat dan hormat kepada kedua ibubapa, dengan berbakti kepadanya, mengasihi dan mendoakan kebaikan kepada meraka semasa hidup apa lagi setelah mereka meninggal dunia.

3. Memiliki segala sifat-sifat mahmudah serta menjauhi segala sifat-sifat mazmumah. Antaranya seperti sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, taubat, taqwa dan sebagainya. Manakala sifat-sifat mazmumah yang perlu dihindari seperti bohong, bakhil, kianat. hasad dengki, riak, takabbur, ujub dan lain-lain lagi.

Anak-anak adalah amanah Allah, maka adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak kita kukuh pegangan akidahnya. Kerana apabila anak-anak kita kukuh akidahnya ia dapat menangkis sebarang bentuk ancaman dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan ajaran menyeleweng dan menyalahi syariah serta aqidah.

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala) : neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat-Nya yang keras kasar (layanannya) meraka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan ”.

( Surah al-Tahrim ayat : 6 )


Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

Saturday, March 27, 2010

Suhaimi Ghaffar

Terjumpa gambar2 dari Suhaimi Ghaffar dalam Facebook. Di Sekolah Lipat Kajang kata beliau ....




Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

Sunday, March 21, 2010

Jamuan JKKK Kg Masjid LK

Petikan dari blog keluarga:(buat makluman dan pengetahuan)

"Aturcara mudah,ucapan aluan pengerusi majlis,ucapan ringkas penghulu,doa Ust Saifuddin dan jamuan nasi beriani selepas itu boleh balik.Sengaja diatur begitu untuk cepat segera.Program dalaman untuk ahli masyarakat.

Malam 06-03-2010 saya pengerusi majlis bersahaja.Saya diminta begitu.Bukan hendak meleret-leret dengan ucapan.Biasanya utamakan perpaduan dan pendidikan anak-anak dalam apa jua keadaan.itulah saranan yang tidak pernah lupa disebut pemimpin dimana-mana program.
Lipat Kajang dikenali sebagai masyarakat yang pentingkan perpaduan dan kasih sayang.Biar ini kita kekalkan sebagai warisan unik untuk generasi akan datang.

TAHNIAH SEMUA WARGA LIPAT KAJANG & JKKK KG MASJID"






Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

Sunday, March 14, 2010

Tok Pendekar Awang LK

Tok Pendekar (dan Pawang) Awang, allahyarham, yang tinggal di seberang Sg Pahang bersetentang dengan Masjid Lipat Kajang ialah seorang panglima/pendekar dan juga tok pawang yang tersohor di Kg Lipat Kajang.

Ini ialah sekeping gambar allahyarham yang telah diperoleh dan dipaparkan disini, walau pun kualitinya tidak berapa baik, tapi diharap sesiapa jua anak-anak atau cucu-cucu arwah Pendekar Awang dapat meminjamkan gambar-gambar lain sekiranya ada untuk kita muatnaik bagi tatapan warga LK khasnya dan juga tatapan umum.





Terima kasih kepada sdr Tahrin Salleh


Standing in the middle is Hasmah Bt Razak, on the right is Sahara bt Hanifah, while standing in between Panglima Pawang Hitam and his wife ( can't remember her name ) is Mutalib B Hanifah.
They are the grand children of Tok Panglima Pawang Hitam. This photo was probably taken in early 1960's.



Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

Tuesday, March 9, 2010

Sukan Tahunan Sek Keb LK Meriah

Sungguh meriah dan berjaya sukan tahunan SKLK pada 21/2/2010, penduduk Kg LK memang sentiasa bersatu padu berkerjasama bergotong royong bermuafakat, bukan baru sekarang, pemuafakatan telah wujud di Kg LK sejak beberapa dekad lalu zaman berzaman, sejak mula bertapaknya di Kg LK seorang pedagang/peneroka/pahlawan Bugis, anak Raja Bugis dari seberang, 7 atau 8 generasi yang lalu.
terima kasih sdr Mustafa Chik @ MusaniLipatKajang, (sdr pupu saya) yang sangat pro-aktif, sangat prihatin, banyak berusaha dalam apa jua aktiviti masyarakat kampong kita dan juga dalam program-program sosio-ekonomi di sekitar mukim/daerah/negeri; beliau sentiasa menyiarkan perkhabaran kampong kepada seluruh warga Kg LK yang dapat mencapai kemudahan komunikasi internet, tidak banyak atau barangkali tidak ada orang yang semudah dia sanggup berbuat demikian secara percuma dengan masa dan tenaganya sendiri, saya percaya semata-mata bertujuan untuk menghubungkan semua anak-anak Kg LK dengan masyarakat dikampong terutamanya dengan pihka kepimpinan kampong sekaligus merapatkan lagi silaturrahim, syabas

Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

Bersatu Dalam Semua Usaha Memajukan Kg LK

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

Tidak ada yang lebih juga tidak ada yang kurang dalam anugerah Tuhan Yang Maha Bijaksana Maha Adil kepada setiap hambaNya. Yang penting setiap kita harus bijak menggunakan segala anugerah itu khususnya daya pemikiran dan daya pengimbangan kita (atas dasar amar makruf nahi mungkar) berlandaskan nawaitu dan iktikad yang suci dan ikhlas serta dayausaha yang gigih dan telus kearah memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan ummah, dan terutamanya kelompok masyarakat kita sendiri.
Itu saya kira adalah niat dan matlamat setiap anak Mukim (Kg) LK baik yang berada di dalam mahu pun yang berada di luar, yang dalam hati sanubari setiap kita terpahat perasaan cinta kasih sayang terhadap kampong kita, keluarga dan waris-waris sekampong kita dan harapan serta hasrat untuk menjadikan kampong kita serta seluruh penduduknya turut menikamti habuan yang hak daripada usaha-usaha pihak berwajib (pihak berkuasa) dalam apa jua kegiatan dan aktiviti pembangunan untuk mencapai dan mengecapi secara berpatutan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi, sosial dan termasuk juga politik.
Tidak ada sebarang pandangan sinis atau kritikan terhadap apa jua usaha yang telah sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kepimpinan untuk memajukan kampong, mahu pun terhadap keluarga dan waris-waris yang semestinya memainkan peranan yang amat penting.
Apa jua pandangan pendapat dan/atau buah fikiran dari sesiapa juga anak kampong, saya percaya dan yakin, adalah dengan penuh keikhlasan dan berniat baik, dan sesuai dengan perkembangan daya pemikiran serta konsep bermusyawarah dan bermuhasabah seharusnya tidak timbul apa jua syak wasangka terhadap mana-mana juga anak kampong yang mahu menyumbang setakat yang terdaya atau termampu walau pun dengan hanya sepatah dua kata-kata perangsang atau pencetus sentimen/semangat kerana matlamat dan halatuju kita semua sebagai anak-anak jati Kg LK adalah satu, tiada yang lain...demi kampong kita, demi tanah tempat kelahiran kita, demi asal usul kita (walau bagi sesetengah tidak ada apa lagi yang disebut sebagai "dia yang empunya" di kampong itu).
Kesedaran kita semua tidak sepatutnya hanya berkisar disekitar mereka yang tinggal didalam kampong sahaja, bahawasanya hanya mereka sahajalah yang memikul beban menggerakkan segala usaha memajukan kampong.
Kita juga sepatutnya mempunyai perspektif (pandangan) yang lebih luas lebih menyeluruh bahawasanya sesiapa saja anak kampong Kg LK, baik yang tinggal di dalam mahu pun yang berada di perantauan jauh atau pun dekat, mempunyai kemahuan kebolehan dan keupayaan tersendiri dalam batasan-batasan kemampuan/kapasiti masing-masing untuk membantu menyumbang dan memberi sokongan, dan inilah satu aspek satu kemungkinan yang pada pandangan saya tidak pernah difikirkan atau diterokai, sehingga boleh menimbulkan salah faham dan/atau pun tanggapan yang tidak menguntungkan sesiapa juga dikalangan kita.
Secara peribadi saya berharap keluarga waris-waris dan saudara mara yang tinggal di dalam kampong janganlah hendaknya beranggapan bahawasanya anak-anak Kg LK di perantauan tidak ingatkan kampong tidak sayangkan kampong tidak ingatkan sekolah dimana mereka mula-mula belajar ABC ali ba ta dan 3M, tidak mahu bersama-sama dan tidak mahu menyumbang dalam apa jua dayausaha dan/atau aktiviti untuk memajukan kampong dalam apa jua bidang.
Daya penerimaan perubahan dan daya pemikiran kita semua semestinya sudah dapat meneroka ruanglingkup yang lebih luas selaras dan selari dengan peredaran dan perubahan masa, keadaan dan juga kecelikan minda setiap insan yang sama sekali bukan bergantung kepada pelajaran atau pembelajaran yang diterima secara formal tetapi lebih berupa akibat atau hasil dari penggunaan semua deria-deria yang telah dianugerah oleh Tuhan Yang Maha Esa khususnya penglihatan, pendengaran dan percakapan secara hakiki dan berfaedah.
Apa jua yang dilakukan secara telus, ikhlas, jujur dengan nawaitu yang betul pada jalanNya pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal dariNya, Allah swt.



Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)