Thursday, August 27, 2009

Ramadhan Oh Ramadhan





bersahur











Ramadhan 1430H sudah masuk hari ke 6, dan hari-hari puasa terus berlalu begitu cepat sekali, dimulai dengan sembahyang sunat tarawih dan diakhiri dengan berbuka puasa pada setiap hari...

Jadual-jadual harian masing-masing untuk sepanjang Ramadhan telah pun mengikut pindaan sejak dari hari pertama puasa lagi, mahu tidak mahu kerana Ramadhan itu sendiri memerlukan penyesuaian dalam aktiviti kehidupan harian seluruh umat Islam supaya dapat memberikan lebih tumpuan kepada pengabdian diri kepada Tuhan Yang Maha Esa di bulan Ramadhan ini, dan bukan dengan tujuan untuk mengambil kesempatan dari bulan Ramadhan untuk meringankan kepertanggungjawaban dalam hal-hal kehidupan, “atas nama Ramadhan, maka saya boleh perlahankan segala aktiviti harian”.

Berpuasa bukan bermakna waktu kerja harus dipendekkan, kita diberi kelonggaran untuk meninggalkan tempat kerja supaya boleh memberikan lebih masa kepada keperluan-keperluan melaksanakan ibadat-ibadat di bulan Ramadhan.

Bulan Ramadhan bukan bermakna hanya mereka yang tidak berpuasa, seperti orang bukan Islam, atau sekali pun orang Islam sendiri, seharusnya menghormati orang yang sedang berpuasa, tetapi mereka yang sedang berpuasa semestinya juga menghormati orang yang tidak berpuasa dengan tidak merasakan diri lebih dirahmatiNya daripada mereka yang tidak berpuasa berasa sombong dan megah diri bila berpuasa. Orang yang berpuasa juga mesti menjaga segala ketertiban berpuasa untuk membolehkan ibadah puasanya diterima oleh Tuhan dengan ganjaran maksimum, manakala mereka yang tidak berpuasa (Muslim khususnya) seharusnya memikirkan kenapa mereka masih tidak mahu tunduk kepada perintah Tuhan Zat Yang Maha Berkuasa keatas dirinya supaya menjalani amalan puasa Ramadhan sedangkan kemudahan-kemudahan untuk mereka makan minum disiang hari dibulan puasa sudah menjadi terhad kerana banyak restoran dan kedai makan ditutup pada siang hari bulan Ramadhan dan jika mereka mahu makan minum pun terpaksa menyorok dan bersembunyi dari penglihatan dan pengetahuan orang lain, namun Tuhan sentiasa melihatnya serta perbuatannya tidak berpuasa.

Di bulan Ramadhan juga akan adalah dianjurkan majlis-majlis berbuka puasa beramai-ramai dengan segala jenis hidangan makanan secara membazir dan para tetamu (jemputan) yang bergelar dan yang berpangkat, tapi sebenarnya perlu diperhalusi atas tanggungan kewangan siapa atau pihak mana majlis-majlis berbuka puasa beramai-ramai itu diadakan. Amalan ini seolah-olah sudah menjadi satu kemestian (atau tradisi) demi menjamin imej yang baik dan nama yang harum, namun tidak pula difikirkan apakah ada lebih kemanfaatan jika aktiviti bulan Ramadhan itu dipusatkan dan diadakan dimasjid-masjid dan surau-surau yakni tempat sebenarnya aktiviti keagamaan seharusnya diadakan. Jauh sekali jika berbuka puasa itu diadakan pula direstoran-restoran atau hotel-hotel dengan kos yang begitu tinggi yang merupakan pembaziran yang nyata dari sudut ekonomi rakyat biasa, dan terutamanya dari sudut penghayatan kesucian Ramadhan itu sendiri dimana seluruh umat manusia yang beriman kepadaNya digalakkan lebih berjimat cermat dan berpada-pada dalam perbelanjaan kewangan.

Bulan Ramadhan juga menampakkan timbulnya aktiviti menggalakkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah dianjur dan dijalankan oleh pelbagai pihak, seperti “kempen berhenti merokok” untuk menggalakkan para perokok supaya memulakan usaha untuk berhenti merokok bersempena dengan puasa Ramadhan, ceramah-ceramah agama yang berhubungkait dengan peribadatan puasa Ramadhan, usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan bantuan seperti fakir miskin dan lain-lain, aktiviti memasak dan menyediakan “bubur lambuk” di masjid-masjid untuk diedarkan, dan berbagai lagi kegiatan kemasyarakatan di bulan Ramadhan yang kesemuanya pasti akan dapat menggandakan pahala amalan-amalan di bulan ini yang akan diberi oleh Tuhan Yang Maha Pemurah.

Namun tidak kurang juga aktiviti-aktiviti dan kegiatan-kegiatan yang mencemarkan bulan Ramadhan dan menimbulkan berbagai persepsi negatif tentang matlamat perintah Tuhan yang sebenarnya ke atas manusia mengenai ibadat puasa Ramadhan itu, sebagai tiang (asas) agama Islam yang ke 3 dan juga segala amalan-amalan sampingan yang digalakkan di bulan mulia al-mubarrak ini.

Barangan keperluan utama akan sekelip mata menjadi berkurangan di pasaran, bekalan gula tiba-tiba putus dan berkampit-kampit gula disorok atau tiba-tiba lesap sehingga boleh pasti menjejaskan permintaan dan harga. Begitu juga barangan-barangan lain yang amat lebih diperlukan di bulan puasa ini seperti beras, minyak masak, garam, telur ayam, bawang, pelbagai rempah ratus, cili diproses, juga ikan-ikan dan sayur-sayur segar kesemuanya mengalami kenaikan harga jualan yang meningkat secara ketara. Atas nama Ramadhan bilamana keperluan meningkat para peniaga secara rakus memanipulasi pasaran dan keperluan sehingga memaksa kenaikan harga dan seterusnya meraih keuntungan wang yang angat tidak munasabah,

Begitu juga disemua bazar-bazar Ramadan, harga makanan-makanan yang sudah siap dimasak, juadah-juadah berbuka puasa terdiri dari berbagai kuih muih, manisan-manisan, minuman-minuman kesemuanya dijual dengan harga yang lebih tinggi dari biasa, atas nama Ramadhan.

Tidak terkecuali juga harga-harga pakaian dan pelbagai kelengkapan perlu untuk bulan Ramadhan dan sambutan Eidulfitri, dengan berselindung disebalik tawaran-tawaran harga istimewa untuk Ramadhan dan Syawal, harga-harga pakaian lelaki wanita dan kanak-kanak, songkok dan kupiah, kasut, lampu-lampu hiasan semuanya dinaikkan tidak kurang dari 10% lebih dari harga biasa, atas nama Ramadhan.

Dari sudut lain terdapat juga senario-senario yang seolah-olah mengibaratkan nasib dan keadaan golongan-golongan tertentu dalam masyarakat menjadi kurang baik atau buruk secara tiba-tiba menjelangnya Ramadhan akibat dari perbuatan atau tindakan pihak-pihak tertentu. Ramadhan membawa malang buat mereka? Terdapat ramai pekerja terjejas pekerjaan mereka menjelang Ramadhan dan sambutan aidilfitri disebabkan “pihak berkuasa yang berkenaan” telah mengarahkan banyak premis perniagaan atau perindusterian ditutup dan kesemua yang terlibat terdiri dari umat Islam. Begitu juga bagi mereka yang hidup dalam kedhaifan yang selama ini menerima bantuan kebajikan secara tiba-tiba telah diberhentikan bantuan kebajikan kepada mereka atas sebab-sebab yang kurang munasabah (atau langsung tidak masuk akal). Juga buat keluarga-keluarga yang sekian lama menanggung kesengsaraan menyenggara ahli (atau ahli-ahli) keluarga yang ditimpa penyakit serius sehingga tidak mampu berdikari dan memerlukan perbelanjaan saraan yang tinggi, mereka semakin terhimpit keadaan hidup harian menjelangnya Ramadhan dan Syawal, jauh sekali berupaya untuk mampu berbelanja lebih daripada biasa supaya boleh meningkatkan kegiatan keagamaan dibulan afdal ini.

Tetapi disebalik kemelaratan ekonomi golongan-golongan tertentu ini yang tidak mampu untuk menyambut dan memanfaatkan bulan Ramadhan secara berpatutan, terdapat pula mereka yang meraih untung menerima habuan yang lumayan menjelangnya Ramadhan dan Syawal melalui peruntukan-peruntukan kewangan dan juga bermacam-macam bantuan ikhsan dari “pihak berkuasa” buat mereka ini yang mempunyai kedudukan yang berkepentingan, sehingga mereka mampu untuk “menyambut” dan ”merai’kan” bulan Ramadhan dan Syawal mengikut citarasa yang lebih ghairah dan berleluasa, sehingga tersasar jauh dari tujuan dan matlamat Ramadhan itu sendiri mengikut apa yang diperintahkanNya.

Ramadhan ialah satu bulan yang mulia, terdapat di dalamnya beberapa pengajaran yang perlu diperhatikan oleh setiap Muslim bagi mempertingkat hubungan dan memperkasa diri sebagai Muslim sejati di sisi Tuhan.

Bulan Ramadhan khususnya dari pelaksanaan ibadat puasa bukan penghalang untuk mencapai matlamat kejayaan dari apa yang dirancang oleh mereka yang mahukan kejayaan.

Ramadhan juga memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk mendapatkan sebanyak mungkin himpunan pahala yang tidak ada pada bulan-bulan lain.

Setiap kali menjelang Ramadhan, amat malang jika kita tidak merebut peluang untuk menambahkan ketaqwaan, kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hambaNya yang bertaqwa.

Baginda Rasulullah SAW berkhutbah di akhir bulan Syaaban, sabda baginda:
"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya".

"Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardhu, sementara yang melakukan satu perkara fardhu (pada bulan Ramadhan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu."

Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mukmin.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda SAW menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda baginda, pada 10 pertama Ramadhan adalah rahmat, 10 pertengahan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadhan adalah pelepasan daripada api neraka.
Justeru, tegas baginda, perbanyakkan pada bulan Ramadhan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredhaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

"Dua perkara untuk mendapatkan keredhaan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat "La Ilaha Illallah" (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

"Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurgaNya dan minta dijauhkan daripada memasuki nerakaNya.

"Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah).







Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

No comments:

Post a Comment