Tuesday, March 9, 2010

Bersatu Dalam Semua Usaha Memajukan Kg LK

BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH

Tidak ada yang lebih juga tidak ada yang kurang dalam anugerah Tuhan Yang Maha Bijaksana Maha Adil kepada setiap hambaNya. Yang penting setiap kita harus bijak menggunakan segala anugerah itu khususnya daya pemikiran dan daya pengimbangan kita (atas dasar amar makruf nahi mungkar) berlandaskan nawaitu dan iktikad yang suci dan ikhlas serta dayausaha yang gigih dan telus kearah memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan ummah, dan terutamanya kelompok masyarakat kita sendiri.
Itu saya kira adalah niat dan matlamat setiap anak Mukim (Kg) LK baik yang berada di dalam mahu pun yang berada di luar, yang dalam hati sanubari setiap kita terpahat perasaan cinta kasih sayang terhadap kampong kita, keluarga dan waris-waris sekampong kita dan harapan serta hasrat untuk menjadikan kampong kita serta seluruh penduduknya turut menikamti habuan yang hak daripada usaha-usaha pihak berwajib (pihak berkuasa) dalam apa jua kegiatan dan aktiviti pembangunan untuk mencapai dan mengecapi secara berpatutan kemajuan dalam bidang agama, ekonomi, sosial dan termasuk juga politik.
Tidak ada sebarang pandangan sinis atau kritikan terhadap apa jua usaha yang telah sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak kepimpinan untuk memajukan kampong, mahu pun terhadap keluarga dan waris-waris yang semestinya memainkan peranan yang amat penting.
Apa jua pandangan pendapat dan/atau buah fikiran dari sesiapa juga anak kampong, saya percaya dan yakin, adalah dengan penuh keikhlasan dan berniat baik, dan sesuai dengan perkembangan daya pemikiran serta konsep bermusyawarah dan bermuhasabah seharusnya tidak timbul apa jua syak wasangka terhadap mana-mana juga anak kampong yang mahu menyumbang setakat yang terdaya atau termampu walau pun dengan hanya sepatah dua kata-kata perangsang atau pencetus sentimen/semangat kerana matlamat dan halatuju kita semua sebagai anak-anak jati Kg LK adalah satu, tiada yang lain...demi kampong kita, demi tanah tempat kelahiran kita, demi asal usul kita (walau bagi sesetengah tidak ada apa lagi yang disebut sebagai "dia yang empunya" di kampong itu).
Kesedaran kita semua tidak sepatutnya hanya berkisar disekitar mereka yang tinggal didalam kampong sahaja, bahawasanya hanya mereka sahajalah yang memikul beban menggerakkan segala usaha memajukan kampong.
Kita juga sepatutnya mempunyai perspektif (pandangan) yang lebih luas lebih menyeluruh bahawasanya sesiapa saja anak kampong Kg LK, baik yang tinggal di dalam mahu pun yang berada di perantauan jauh atau pun dekat, mempunyai kemahuan kebolehan dan keupayaan tersendiri dalam batasan-batasan kemampuan/kapasiti masing-masing untuk membantu menyumbang dan memberi sokongan, dan inilah satu aspek satu kemungkinan yang pada pandangan saya tidak pernah difikirkan atau diterokai, sehingga boleh menimbulkan salah faham dan/atau pun tanggapan yang tidak menguntungkan sesiapa juga dikalangan kita.
Secara peribadi saya berharap keluarga waris-waris dan saudara mara yang tinggal di dalam kampong janganlah hendaknya beranggapan bahawasanya anak-anak Kg LK di perantauan tidak ingatkan kampong tidak sayangkan kampong tidak ingatkan sekolah dimana mereka mula-mula belajar ABC ali ba ta dan 3M, tidak mahu bersama-sama dan tidak mahu menyumbang dalam apa jua dayausaha dan/atau aktiviti untuk memajukan kampong dalam apa jua bidang.
Daya penerimaan perubahan dan daya pemikiran kita semua semestinya sudah dapat meneroka ruanglingkup yang lebih luas selaras dan selari dengan peredaran dan perubahan masa, keadaan dan juga kecelikan minda setiap insan yang sama sekali bukan bergantung kepada pelajaran atau pembelajaran yang diterima secara formal tetapi lebih berupa akibat atau hasil dari penggunaan semua deria-deria yang telah dianugerah oleh Tuhan Yang Maha Esa khususnya penglihatan, pendengaran dan percakapan secara hakiki dan berfaedah.
Apa jua yang dilakukan secara telus, ikhlas, jujur dengan nawaitu yang betul pada jalanNya pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal dariNya, Allah swt.



Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)

No comments:

Post a Comment