Friday, January 29, 2010

JKKK Perlu Lebih Bertanggung jawab












Dipetik dari Sinar Harian, 29 Jan 2010 Jumaat

JKKK perlu lebih bertanggungjawab

KAMPUNG PULAU RUMPUT - Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota masyarakat di sesebuah kawasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar (Pahang), Datuk Ishak Muhamad berkata, JKKK perlu memastikan tiada penduduk di kawasan tadbirnya keciciran dari segi bantuan mahupun perhatian.

Menurutnya, kesulitan serta kesusahan hidup yang dialami penduduk harus dititikberatkan dan cuba diselesaikan melalui usaha menyenaraikan mereka bagi mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan.






“Ahli JKKK yang dilantik seharusnya memainkan peranan masing-masing serta peka dengan tanggungjawab yang dipikul dan ia berubah mengikut peredaran masa malah keperluan dalam sesebuah komuniti turut perlu diberi perhatian.

“Masalah yang dihadapi penduduk perlu direkodkan serta diajukan kepada pihak atasan bagi tujuan penyelesaian dan kecekapan mereka mentadbir kawasan mampu mengurangkan masalah yang dialami penduduk,” katanya selepas merasmikan mesyuarat bersama JKKK Kampung Pulau Rumput, DUN Pulau Manis di sini.

Amanah

Ishak berkata, JKKK bukan satu jawatan yang hanya gah pada nama, tetapi ia merangkumi amanah yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan membela kesusahan rakyat di setiap kawasan.

“Peranan setiap ahli JKKK yang diketuai oleh ketua kampung semakin penting dari semasa ke semasa dan ia menjadi tunggak kepada pentadbiran yang lebih tinggi di mana kita mengharapkan maklumat serta perkembangan rakyat yang disalurkan oleh mereka.

“Mereka juga berperanan mewujudkan suasana harmoni serta menanam nilai-nilai murni dalam masyarakat yang kian mengabaikan kepentingan kerjasama serta hubungan kejiranan yang akrab,” katanya.

Menurutnya, sikap lepas tangan serta malas melaksanakan tugas yang diamanahkan hanya akan mengundang rasa tidak percaya masyarakat terhadap komuniti kecil yang dilantik ini sedangkan mereka seharusnya menjadi rujukan kepada masyarakat.

“Saya menasihati semua ahli JKKK yang dilantik dapat mencorakkan sebuah komuniti yang sempurna serta penuh dengan nilai positif bagi mendukung hasrat kerajaan yang mengharapkan perpaduan yang berterusan,” katanya.



Lipat Kajang people (or decendents) are encouraged to participate& contribute (Orang Lipat Kajang, atau keturunan, di jemput memberi sumbangan idea)